Saturday, May 14, 2016

TAKRIF TAUHID ULUHIAH

TAKRIF TAUHID ULUHIAH 


Tauhid Uluhiah ialah mengesakan Allah S.W.T dengan beribadah dalam semua jenis ibadah.

Sesetengah ilmuan islam berpendapat ibadah dan ta’abud adalah sama pengertiannya. Ibadah atau ta’abud mempunyai 2 rukun serta 2 syarat. Rukunnya ialah tunduk patuh, menghinakan diri dan kecintaan. Syaratnya pula ialah mengenali Yang disembah dan mengetahui agamaNya.

Beribadah bermaksud sesuatu perkara yang dilakukan untuk penyembahan kepada Allah S.W.T samada perkataan, amalan luaran dan amalan batin.
Ibadah juga ialah membenarkan pengakuan kalimah syahadah seseorang. Sebagaimana perkataan Nabi Ibrahim a.s ;

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ إِنَّنِي بَرَاء مِّمَّا تَعْبُدُونَ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah.” (Az-Zukhruf 43:26)

Ibnu Jarir menafsirkan ayat ini ; ialah kalimah
لا إله إلا الله

Perkataan ‘Islam’ juga bermaksud menerima dengan patuh cara penyembahan dari Allah S.W.T sahaja dan kepada Allah S.W.T sahaja. Seperti perkataan Nabi Ibrahim a.s ;

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

“(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam(Al-Baqarah 2:131)

Secara ringkasnya tauhid Uluhiah ialah mengesakan Allah S.W.T dalam beribadah. Tauhid ini juga disebut tauhid ibadah, tauhid ubudiah, tauhid amal, tauhid iradah dan talab, tauhid qasad dan tauhid kepada Allah dengan perbuatan hamba.


Kerana tauhid inilah Allah S.W.T menciptakan Jin dan Manusia. Seperti firmanNya ;
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.(Adz-Dzaariyaat 51:56

Kerana tauhid inilah Allah S.W.T mengutuskan rasul-rasul. 
FirmanNya ;

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلاَّ نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُونِ

Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".(Al-Anbiyaa' 21:25)

Tauhid inilah perkara utama dalam dakwah semua rasul.
FirmanNya ;

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah TaghutAl-Nahl 16:36)

Kerana tauhid inilah berlakunya pertembungan antara para rasul dan umat mereka, antara pengikut rasul dan pengamal syirik.

Agama ini terdiri daripada beberapa jenis tauhid. Tauhid Uluhiah mengandungi tauhid Rububiah dan tauhid asma dan sifat, kerana sesiapa yang beribadah kepada Allah S.W.T semata-mata menunjukkan bahawa dia telah beriman kepada RububiahNya dan beriman kepada Asma dan sifatNya.

Sekalipun telah jelas kepentingan tauhid uluhiah ini. Kebanyakkan manusia mengingkari bahawa yang paling layak mereka sembah ialah Allah S.W.T yang tiada sekutu bagiNya, bahkan mereka menyembah selain Allah bersama Allah.



No comments: