MENYAPU MUKA SETIAP KALI SELESAI BERDOA
Salah satu amalan dan kebiasaannya dalam masyarakat kita,
ialah mengusap (menyapu) muka setiap kali selesai berdoa sebagai penutup doa
dan mungkin untuk mendapat berkat dari doa tersebut. Sebenarnya perbuatan tersebut
tidak mempunyai asas/landasan dari syara’ dan tiada nas yang boleh dijadikan
hujjah/sandaran, kerana semua hadis-hadis yang menunjukkan menyapu muka setelah
selesai berdoa keseluruhannya lemah/dhaif belaka. Antara hadis-hadis tersebut
ialah:
Kelompok Hadis pertama:
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ كَعَبِ الْقَرْظِيِّ
عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
: اِذَا سَاَلْتُمْ بِاللهِ فَسَلُوْهُ بِبُطُوْنِ اَكُفِّكُمْ ، وَلاَ تَسْاَلُوْهُ
بِظُهُوْرِهَا ، وَامْسَحُوْا بِهَا وُجُوْهَكُمْ
“Dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi
dari Ibnu Abbas berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah, maka mintalah dengan telapak tangan
kamu, jangan memintanya dengan belakangnya. Dan sapulah dengannya muka kamu”.
(Hadis Riwayat At-Thabrani dalam المعجم الكبير
10/10779. az-Zahabi dalam المستدرك 1/536. Al-Baihaqi. السنن الكبرى2/212)
(1). عَنْ صَالِحِ بْنِ حَسَّانَ اْلاَنْصَارِيِّ
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ كَعَبِ الْقَرْظِيِّ عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا دَعَوْتَ اللهَ فَادْعُ بِبَاطِنِ كَفَّيْكَ
، وَلاَ تَدْعُ بِظُهُوْرِهَا ، فَاِذَا فَرَغْتَ فَامْسَحْ بِهِمَا وَجَهَكَ.
(1). “Dari Soleh bin Hassan al-Ansari, dari Muhammad bin Ka’ab
al-Qardzi dari Ibn Abbas, beliau berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu
‘alaihi wa-sallam: Jika engkau berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan
telapak tanganmu, janganlah berdoa dengan kedua-dua belakangnya. Maka setelah
selesai, sapulah wajahmu dengan kedua tanganmu”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah
dalam Sunan. 1/373. Hadis No. 1181)
Kedua-dua hadis di atas ini adalah sangat lemah kerana pada
sanadnya terdapat perawai yang lemah sebagaimana dapat diketahui dari
penjelasan di bawah ini:
Dalam az-Zawaid dinyatakan: Isnad hadis ini lemah. Ia
dilemahkan kerana terdapat perawi bernama Soleh bin Hassan. (Lihat: Sunan Ibn
Majah. 1/373)
Menurut Imam Bukhari rahimahullah: Hadis yang dari Soleh bin
Hassan al-Ansari dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi adalah hadis mungkar. Dan
beliau berkata lagi: Setiap seseorang yang telah aku katakan hadisnya mungkar,
maka tidak halal untuk meriwayatkan hadis darinya. (Lihat: ميزان الاعتدال 1/6.
Az-Zahabi)
Menurut Ibnu Hibban: Semua hadis yang diriwayatkan oleh
(Soleh bin Hassan al-Ansari) adalah hadis-hadis palsu. (Lihat: al-Irwa
al-Ghalil. 2/180. al-Albani)
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah: Soleh bin Hassan (متروك) “Ditinggalkan”. (Lihat: المعجم الكبير 10/319)
Tambahan وَامْسَحُوْا بِهَا وُجُوْهَكُمْ فَهِيَ
زِيَادَةٌ مُنْكَرَة “Dan
sapulah muka kamu dengan telapak tangan kamu (setelah selesai berdoa), maka ia
adalah tambahan yang mungkar”. (Lihat: المعجم الكبير 10/319)
Berkata Abu Daud: Dia (soleh bin Hassan) seorang yang lemah.
(Lihat: المعجم الكبير 10/319)
Hadis Kedua:
(2). حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ عِيْسَى الْجُهَنِيُّ
عَنْ حَنْظَلَةَ بْنَ اَبِيْ سُفْيَانَ الْجُمَحِيِّ عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللهِ
عَنْ اَبِيْهِ عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ رَسُوْلُ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِى الدُّعَاءِ لَمْ
يَحُطُّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهَمَا وَجْهَهُ . قَالَ مَحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى
فَى حَدَيْثِهِ : لَمْ يَرُدُّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهَمَا وَجْهَهُ
(2). “Berkata Hammad bin Isa al-Juhani dari Handhalah bin
Abi Sufyan al-Jumahi dari Salim bin Abdullah dari bapanya dari Umar bin
al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam
mengangkat tangannya dalam berdoa. Baginda tidak mengembalikan kedua tangannya
sehingga mengusap wajahnya. Berkata Muhammad bin al-Muthannah dalam hadisnya:
Baginda tidak mengembalikannya keduanya sehingga mengusap dengan kedua
tangannya wajahnya”. (Hadis Riwayat Tirmizi. 5/3386)
Hadis di atas ini adalah hadis lemah kerana sanad hadis ini
berasal dari Hammad bin Isa al-Juhani. Nama penuh beliau ialah: Hammad bin Isa
bin Ubaid bin at-Thufail al-Juhani al-Wasiti al-Basri. Dia seorang perawi yang
sangat lemah.
Berkata Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah:
Perawi seperti dia adalah lemah sekali. Maka hadisnya tidak boleh dihasankan,
dengan demikian sama sekali tidak boleh disahihkan. (Lihat: Irwa al-Ghalil fii
Takhrij Ahadis Manaris Sabil. 2/433)
Menurut al-Hafiz az-Zahabi: Hammad bin Isa al-Juhani adalah
perawi yang lemah. (Lihat: سير اعلام النبلاء 16/67. Az-Zahabi)
Abu Zur’ah ar-Razi rahimahullah berkata: Hadis (Hammad) ini
adalah hadis mungkar yang diyakini tidak ada asalnya. (Lihat: العلل 2/351. Ibnu
Abi Hatim ar-Razi)
Hadis di atas ini juga dilemahkan oleh para ulama hadis.
Antaranya ialah: Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad dan Abu Hatim ar-Razi.
Berkata Ibnu Makula: Para ulama hadis telah melemahkan hadis-hadis Hammad.
(Lihat: تهذيب التهذيب oleh Ibnu Hajar. Lihat:العلل المتنهية 2/841.
Ibnu al-Jauzi)
Hadis Ketiga:
(3). عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ اَنَّ
رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ تَسْتُرُوْا الْجُدُرَ
مَنْ نَظَرَ فِى كَتَابِ اَخِيْهِ بِغَيْرِ اِذْنِهِ فَاِنَّمَا يَنْظُرُ فِى النَّارِ
، سَلُوْ اللهَ بِبُطُوْنِ اَكُفِّكُمْ وَلاَ تَسْاَلُوْهُ بِظُهُوْرِهَا ، فَاِذَا
فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوْا بِهَا وُجُوْهَكُمْ
(3). “Dari Abdullah bin Abbas radiallahu ‘anhu, sesungguhnya
Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Janganlah kamu menutupi
dinding-dinding (dengan kain), sesiapa melihat kitab saudaranya tanpa izinnya,
maka sesungguhnya dia telah melihat dalam neraka. Mintalah kepada Allah dengan
telapak-telapak tangan kamu dan janganlah meminta dengan belakangnya. Jika kamu
telah selesai berdoa, maka usaplah wajah kamu dengan telapak tangan kamu”.
(Hadis Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)
Menurut para ulama hadis, hadis ini sangat lemah kerana
mempunyai beberapa illah (penyakit):
Berkata Abul Hasan bin al-Qatthan dan Al-Hafiz Iban Hajar:
“Perawi hadis ini (Abdul Malik bin
Muhammad bin Aiman al-Hijazi) هو مجهول “Dia tidak diketahui/tidak dikenali”. (Lihat: تقريب التهذيب -
Ibnu Hajar)
Berkata Abu Daud:
روي هذا الحديث من غير وجه عن محمد بن كعب
كلها واهية وهذا الطريق امثلها وهو ضعيف ايضا
“Hadis ini telah diriwayatkan dari
berbagai jalan dari Muhammad bin Ka’ab, yang semuanya sangat lemah. Walaupun
sanad ini adalah yang terbaik, namun hadis ini juga adalah lemah”. (Lihat: مختصر سنن ابي داود 2/1432)
Dengan penjelasan di atas, ternyata bahawa hadis-hadis
tentang menyapu muka setelah selesai berdoa tidak ada yang sahih, oleh itu ia
adalah sesuatu yang bid’ah, kerana perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan
dan tidak ada contohnya dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para
sahabat, para tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan dari para ulama Salaf as-Soleh
yang mengikut jejak mereka.
PANDANGAN ULAMA DALAM HAL INI (MENYAPU MUKA SETELAH BERDOA):
1 – AL-Mawarzi di dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata,
“Imam Malik bin anas al-Ashbahi Rahimahullah (w. 179H) ditanya tentang
seseorang yang mengusap mukanya dengan kedua telapak tangannya ketika berdoa,
ia mengingkari hal itu dan berkata, “Aku tidak mengetahuinya.””
2 – Dari apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi (2/212), “Aku
bertanya kepada Abdullah (Imam Abdullah Bin al-Mubarak Rahimahullah (w.
181H)/Ibnul Mubarak) berkenaan dengan orang yang jika berdoa mengusap mukanya,
ia berkata, “Aku tidak menyaksikannya melakukan hal itu.” Ia berkata, “Abdullah
berdoa qunut setelah ruku’ di dalam solat witr dengan mengangkat kedua
tangannya.”
3 – al-Baihaqi (w.458H), penulis kitab al-Sunan al-Kubra, di
dalam kitabnya (2/212) ia berkata, “Berkenaan masalah mengusap muka dengan dua
telapak tangan selepas selesai berdoa adalah sesuatu yang tidak ku hafal dari
walau seseorang salaf (generasi awal) dalam hal doa qunut, sekalipun
diriwayatkan dari sebahagian mereka hal itu dalam doa di luar solat. Telah
diriwayatkan dari Nabi s.a.w. sebuah hadis yang di dalamnya terdapat kelemahan
yang menurut sebahagian mereka hadis itu diamalkan di luar solat, sedangkan di
dalam solat hal itu adalah amalan yang tidak baku. Maka, yang lebih utama
adalah tidak melakukannya dan membatasi diri dengan mengamalkan apa yang
diamalkan oleh para salaf Rahimahullah berupa mengangkat kedua tangan (ketika
berdoa) tanpa mengusap muka di dalam solat.
4 – Imam al-Nawawi Rahimahullah (w. 676H) turut tidak
memandub-kan (menyarankan/mengharuskan) mengusap muka setelah berdoa, sekalipun
di luar solat, sebagaimana yang disebutkannya di dalam kitab al-Majmu’. Hal itu
disebutkan pula oleh Ibnu ‘Alan di dalam kitab Syarh al-Adzkar (2/311).
Di dalam kitab ar-Raudhah (1/255), beliau Rahimahullah
berkata, “Aku telah katakan bahawa tidak mustahab secara mutlak mengusap walau
selain muka sama sekali, bahkanjama’ah dari kalangan para ahli ilmu berpendapat
bahawa hal itu makruh hukumnya.
Ini adalah cabang dari salah satu aspek menurut kalangan
pengikut syafi’i berkenaan dengan mengusap muka setelah berdoa.
5 - Menurut Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah (w.
728H) menyatakan di dalam al-Fatawa (22/519), dalam persoalan ini: “Berkenaan
dengan Nabi s.a.w. mengangkat tangan ketika berdoa telah ada sejumlah hadis
sahih berkenaan dengannya, sedangkan berkenaan dengan mengusap muka dengan
kedua tangan, tidak ada hadis berkenaan dalam hal itu, melainkan satu atau dua
buah hadis sahaja yang tidak boleh dijadikan hujjah dengan keduanya. Wallahu
a’lam.
6 – al-Fairuz Abadi Rahimahullah (w. 817H) di dalam kitab
Safar as-Sa’adah ia berkata, “Mengenai masalah mengusap muka dengan dua telapak
tangan setelah berdoa tidak ada hadis yang sahih berkenaan dengannya.” Maka,
beliau juga turut menyatakan bahawa hal menyapu muka selepas berdoa adalah
tidak disunnahkan.
7 – Ibnu ‘Alan ash-Shadiqi (w. 1057H), di dalam kitab syarh
al-Adzkar (2/311) menyatakan bahawa, “Terdapat faktor yang memperkuat aspek
pertama dari mazhab syafi’i bahawa ia menjadikan mustahab (disarankan)
mengangkat tangan (ketika berdoa), dan tidak mengusap. Wallahu a’lam.
C&P
C&P
No comments:
Post a Comment