Friday, May 13, 2016

BEZA KUFUR AKBAR DAN KUFUR ASGHAR

PERBEZAAN ANTARA KUFUR AKBAR DAN KUFUR ASGHAR


         Syirik akbar dan kufur akbar ialah yang mengeluarkan seseorang daripada islam. Adapun syirik asghar dan kufur asghar tidak menjadikan seseorang itu terbatal iman dan islam mereka.

Oleh kerana itu setiap kekufuran yang disebut di dalam nas tetapi tidak keluar daripada daerah islam disebut syirik asghar atau kufur asghar.

Pandangan Imam Ahmad bahawa ;

“sesiapa yang melakukan zina, mencuri, minum arak dan sebagainya maka dia muslim tetapi tidak dinamakan mukmin, dan sesiapa yang melakukan dosa selain dosa besar dinamakan mukmin yang kurang imannya”

Difahami dari pandangan Imam Ahmad itu ialah orang yang melakukan dosa besar disebut sebagai muslim sahaja. Orang yang tidak melakukan dosa besar tetapi melakukan dosa kecil dipanggil mukmin yang kurang imannya.

Orang yang terjaga dari dosa besar dan kecil lebih tinggi darjatnya berbanding semua yang berikut.

Dosa besar yang berkaitan syirik kecil ataupun berkaitan tidak mengikut syariat tetapi tidaklah sampai membatalkan tunjang keimanan samada dari segi maksiat atau bidaah, tetap mengekalkan si pelaku tersebut di dalam islam selagi mana tidak berlaku pendustaan agama dan menghalalkan perbuatan tersebut.

Perbuatan riya adalah syirik kecil sebagaimana terdapat di dalam nas, iaitu melakukan amalan kerana Allah tetapi disertakan dengan ingin dapatkan sesuatu dari pandangan manusia.

Berkata Ibnu Qaiyim ;

“Dan adapun syirik kecil seumpama sedikitnya riya, melakukan amalan kerana makhluk dan bersumpah atas nama selain Allah kadang-kadang akan menjadi syirik besar berdasarkan niat seseorang itu”.

Adapun kufur asghar sebagai contoh ialah berhukum selain hukum Allah pada satu keadaan kerana syahwat, ini sebagaimana tafsiran Ibnu Abbas pada ayat ;

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ [المائدة: 44]،
“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang kafir”

Meninggalkan hukum Allah secara keseluruhan adalah kufur akbar.

Syirik asghar sekalipun ianya tergolong dosa besar, ianya berperingkat, sebahagiannya lebih besar dari lainnya.

Sabda Nabi S.A.W

: ((ألا أنبؤكم بأكبر الكبائر... الشرك بالله وعقوق الوالدين... الحديث))

“Mahukah kamu aku tunjukkan sebesar-besar dosa besar...syirik kepada Allah dan derhaka kepada ibu bapa..”


Berkata muhammad at tamimi ;

“Syirik asghar adalah sebesar-besar dosa besar”

Dalil adanya syirik asghar sebagaimana Nabi S.A.W bersabda ;

 ((إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر. قالوا: يا رسول الله، وما الشرك الأصغر؟ قال: الرياء))  (10) .

“Sesungguhnya perkara yang aku paling takuti ke atas kamu ialah syirik kecil. Mereka bertanya ; wahai Rasulullah, apa itu syirik kecil? Baginda bersabda ; riya”

Nabi S.A.W bersabda ;

((سباب المسلم فسوق، وقتاله كفر)) 

“Mencela muslim adalah fasik, membunuhnya adalah kafir”

Dan Allah berfirman ;

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ [الحجرات: 9] 

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah)”

Allah S.W.T menyatakan kedua-dua kumpulan yang berbunuhan itu sebagai mukmin. Ini menunjukkan yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W dalam hadis di atas ialah kufur asghar.

Di atas asas inilah pegangan ahlu sunnah wal jamaah bahawa ; boleh berhimpun pada seseorang itu kufur asghar dan iman, syirik asghar  dan tauhid, takwa dan kejahatan, nifaq dan iman. Adapun khawarij, muktazilah dan qadariah berpegang sebaliknya, bahkan mereka mengatakan pelaku dosa besar telah keluar daripada islam dan kekal di dalam neraka.

Berkata syeikh Soleh Uthaimin ;

“Syirik asghar ialah setiap amalan yang berbentuk perkataan atau perbuatan yang syarak sifatkan sebagai syirik tetapi tidak mengeluarkan pelakunya dari daerah islam”.



No comments: