Sunday, May 15, 2016

ADANYA PENCIPTA PENGETAHUAN SEMULAJADI

MENGETAHUI ADANYA ALLAH S.W.T ADALAH PERKARA SEMULAJADI


Pengetahuan tentang adanya Pencipta seluruh makhluk adalah perkara semulajadi, tersedia di dalam jiwa setiap manusia. Allah S.W.T mengingatkan kita tentang perkara ini dalam firmanNya ;

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ أَوْ تَقُولُواْ إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِّن بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ [الأعراف: 172-173]

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"


Sungguh seruan para rasul a.s sekelian berpaksi kepada fitrah semulajadi ini, iaitu keimanan terhadap Allah, seruan kepada tauhid rububiah dan uluhiah / ibadah, segala namaNya dan segala sifatNya.

Berkata syaikhul islam Ibnu Taimiah ( 728) ;

Paling terkenal orang yang mengingkari adanya Pencipta adalah Firaun, sekalipun batinnya mempercayai akan adanya Pencipta, seperti kata Nabi Musa a.s kepada Firaun ;
لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنْزَلَ هَؤُلَاءِ إِلَّا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا[الإسراء: 102]

Nabi Musa menjawab: "Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا [النمل: 14]
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

(Dar’u ta’arud aql wa naql 8/38)


Perlu diketahui bahawa istilah ‘wujudnya Allah’, ‘isbatnya (menetapkan) Pencipta’, atau ‘isbatnya (menetapkan) wajibul wujud ( Yang wajib ada )’ dan lain-lainnya adalah istilah yang baru. Timbulnya istilah-istilah yang baru ini bersama berkembangnya kumpulan-kumpulan sesat di dalam akidah.

Berkata Syaikhul islam Ibnu Taimiah ;

jika pengetahuan berkaitan adanya Pencipta adalah perkara fitrah, bagaimana pengingkaran berlaku daripada para pengkaji daripada golongan islam dan lain-lainnya, mereka mendakwa mendirikan hujjah aqal keatas kewujudan Pencipta,.........diketahui dalam islam yang mula-mula mengingkari pengetahuan fitrah semulajadi terhadap Allah S.W.T adalah ahlu kalam. Golongan ini ditolak oleh para salaf, seperti jahmiah dan qadariah. Disisi ulama salaf golongan ini adalah sesat dan jahil, tetapi asas-asas kefahaman mereka tersebar dalam kalangan umat islam kini, hingga setengah umat menyangka kefahaman ini datangnya dari para salaf sedangkan ianya ditentang oleh salaf ummah.
(Majmuk fatawa 16/431)


Berikutan terjadinya penyimpangan ini, iaitu pada mengikrarkan kewujudan Pencipta dikalangan jahmiah maka berkembang pula pemikiran muktazilah dan yang lainnya. Mereka mensyaratkan merenung / memerhati dan memerlukan dalil-dalil dalam penetapan wujudnya Pencipta. Sedangkan bagi salaf ummah tidak mensyaratkan demikian untuk menetapkan wujudnya Pencipta.

Dalil adanya ciptaan alam yang hebat ini sudah mencukupi bagi mereka yang menggunakan naluri fitrah mereka untuk menetapkan adanya Sang Pencipta yang Maha Bijak. Hanya mereka yang menyimpang dari fitrah sahaja tidak mengakui adanya Pencipta alam ini. Oleh kerana itu al-quran tidak banyak menyentuh perihal ikrarkan Pencipta berbanding ikrarkan ubudiah kepada Sang Pencipta.

No comments: