Showing posts with label ASMA DAN SIFAT. Show all posts
Showing posts with label ASMA DAN SIFAT. Show all posts

Thursday, May 19, 2016

MAKNA ASMA DAN MAKNA SIFAT SERTA PERBEZAANNYA



APA ITU ‘ASMA’ DAN APA ITU ‘SIFAT’?
SERTA PERBEZAANNYA.

Asma’ ialah jamak daripada perkataan isim iaitu nama bagi sesuatu.

Menurut Ibnu Taimiah ;

(أسماء الأشياء هي الألفاظ الدالة عليها)
Majmuk fatawa 6/195

“asma atau nama-nama itu ialah lafaz-lafaz yang menunjukkan keatas sesuatu itu”. 

Contohnya ; Zaid, Ahmad, Matahari dan lain-lain yang memberi kefahaman diri seseorang itu atau sesuatu benda itu sendiri ( bukan keadaan atau kelakuan ).

Juga boleh dikatakan bahawa nama-nama ialah cerita tentang yang dinamakan itu.

Adapun sifat ialah perkara yang menunjukkan keadaan atau kelakuan sesuatu itu.

Berkata Ibnu Faris ;

(الصفة: الأمارة اللازمة للشيء)
Mu’jam maqayis lughah 5/448

“Sifat ialah tanda yang lazim bagi sesuatu”.

Contohnya ; berilmu, cantik, kuat dan lain-lain.






Perbezaan antara nama-nama Allah dan sifat-sifat Allah.


Syeikh Soleh Uthaimin berpandangan ;

أن الاسم ‏:‏ ما سمي الله به، والصفة ‏:‏ ما وصف الله به‏.‏ وبينهما فرق ظاهر‏.‏
فالاسم يعتبر علماً على الله عز وجل متضمناً للصفة‏.‏

“Isim ; apa yang Allah namakan bagi diriNya. Sifat ; apa yang Allah S.W.T bersifat dengannya. Kedua-duanya mempunyai perbezaan yang zahir. Isim diperkirakan tanda bagi Allah S.W.T yang mengandungi makna sifat. Kelaziman pada menetapkan nama ialah penetapan sifat”.

Contohnya ;

{‏إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ‏}‏ ‏{‏غَفُورٌ‏}‏ اسم يلزم منه المغفرة و ‏{‏رَّحِيمٌ‏}‏ يلزم منه إثبات الرحمة‏.‏ ولا يلزم من إثبات الصفة إثبات الاسم، مثل الكلام لا يلزم أن نثبت لله اسم المتكلم، بناء على ذلك تكون الصفات أوسع، لأن كل اسم متضمن لصفة وليست كل صفة متضمنة لاسم‏.‏ 

Ghafur ialah nama, ianya terkandung sifat penerima taubat. Rahim ialah nama yang mengandungi makna Penyayang.

Tidak semestinya pada menetapkan sifat, menetapkan nama. Contoh ; al Kalam maknanya ialah Yang berkata-kata, tetapi tidak boleh kita menetapkan nama Allah S.W.T sebagai al Mutakallim.

Bab sifat-sifat Allah S.W.T lebih luas, kerana setiap nama-nama Allah terkandung didalamnya sifat-sifat sedangkan tidaklah setiap sifat itu adalah nama bagi Allah S.W.T.”
Majmuk fata wa rasaail lil syeikh Muhammad bin Soleh Uthaimin


Dalam fatwa dari Lujnah Daimah ;

(أسماء الله كل ما دل على ذات الله مع صفات الكمال القائمة به؛ مثل: القادر، العليم، الحكيم، السميع، البصير؛ فإن هذه الأسماء دلَّت على ذات الله، وعلى ما قام بها من العلم والحكمة والسمع والبصر، أما الصفات؛ فهي نعوت الكمـال القائمة بالذات؛ كالعلم والحكمة والسمع والبصر؛ فالاسم دل على أمرين، والصفة دلت على أمر واحد، ويقال: الاسم متضمن للصفة، والصفة مستلزمة للاسم

Segala nama Allah ialah setiap apa yang menunjukkan di atas Zat Allah serta sifat-sifatNya yang sempurna, contohnya ; al-Qadir, al-Alim, al-Hakim, al-Sami’, al-Basir ; ini adalah nama-nama yang menunjukkan atas Zat Allah yang memberi makna ilmu, bijaksana, mendengar dan melihat. 

Adapun sifat-sifat ialah menyifatkan kesempurnaan di atas Zat Allah. 
Contohnya ; Ilmu, Bijaksana, Mendengar dan Melihat. 

Maka nama itu menunjukkan dua perkara ( nama bagi Allah dan keadaan Allah ), sifat menunjukkan satu perkara sahaja( hanya keadaan Allah). 

Dikatakan ; nama-nama itu memberi makna bagi sifat, dan sifat itu menjadi kelaziman bagi nama.



Sunday, May 15, 2016

ADANYA PENCIPTA PENGETAHUAN SEMULAJADI

MENGETAHUI ADANYA ALLAH S.W.T ADALAH PERKARA SEMULAJADI


Pengetahuan tentang adanya Pencipta seluruh makhluk adalah perkara semulajadi, tersedia di dalam jiwa setiap manusia. Allah S.W.T mengingatkan kita tentang perkara ini dalam firmanNya ;

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ أَوْ تَقُولُواْ إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِّن بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ [الأعراف: 172-173]

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"


Sungguh seruan para rasul a.s sekelian berpaksi kepada fitrah semulajadi ini, iaitu keimanan terhadap Allah, seruan kepada tauhid rububiah dan uluhiah / ibadah, segala namaNya dan segala sifatNya.

Berkata syaikhul islam Ibnu Taimiah ( 728) ;

Paling terkenal orang yang mengingkari adanya Pencipta adalah Firaun, sekalipun batinnya mempercayai akan adanya Pencipta, seperti kata Nabi Musa a.s kepada Firaun ;
لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنْزَلَ هَؤُلَاءِ إِلَّا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا[الإسراء: 102]

Nabi Musa menjawab: "Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا [النمل: 14]
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

(Dar’u ta’arud aql wa naql 8/38)


Perlu diketahui bahawa istilah ‘wujudnya Allah’, ‘isbatnya (menetapkan) Pencipta’, atau ‘isbatnya (menetapkan) wajibul wujud ( Yang wajib ada )’ dan lain-lainnya adalah istilah yang baru. Timbulnya istilah-istilah yang baru ini bersama berkembangnya kumpulan-kumpulan sesat di dalam akidah.

Berkata Syaikhul islam Ibnu Taimiah ;

jika pengetahuan berkaitan adanya Pencipta adalah perkara fitrah, bagaimana pengingkaran berlaku daripada para pengkaji daripada golongan islam dan lain-lainnya, mereka mendakwa mendirikan hujjah aqal keatas kewujudan Pencipta,.........diketahui dalam islam yang mula-mula mengingkari pengetahuan fitrah semulajadi terhadap Allah S.W.T adalah ahlu kalam. Golongan ini ditolak oleh para salaf, seperti jahmiah dan qadariah. Disisi ulama salaf golongan ini adalah sesat dan jahil, tetapi asas-asas kefahaman mereka tersebar dalam kalangan umat islam kini, hingga setengah umat menyangka kefahaman ini datangnya dari para salaf sedangkan ianya ditentang oleh salaf ummah.
(Majmuk fatawa 16/431)


Berikutan terjadinya penyimpangan ini, iaitu pada mengikrarkan kewujudan Pencipta dikalangan jahmiah maka berkembang pula pemikiran muktazilah dan yang lainnya. Mereka mensyaratkan merenung / memerhati dan memerlukan dalil-dalil dalam penetapan wujudnya Pencipta. Sedangkan bagi salaf ummah tidak mensyaratkan demikian untuk menetapkan wujudnya Pencipta.

Dalil adanya ciptaan alam yang hebat ini sudah mencukupi bagi mereka yang menggunakan naluri fitrah mereka untuk menetapkan adanya Sang Pencipta yang Maha Bijak. Hanya mereka yang menyimpang dari fitrah sahaja tidak mengakui adanya Pencipta alam ini. Oleh kerana itu al-quran tidak banyak menyentuh perihal ikrarkan Pencipta berbanding ikrarkan ubudiah kepada Sang Pencipta.

Friday, May 13, 2016

PENGENALAN TAUHID ASMA DAN SIFAT

TAKRIF TAUHID ASMA (NAMA-NAMA) DAN SIFAT

Tauhid asma dan sifat :

Iaitu mengesakan Allah S.WT dengan nama-namaNya yang terbaik dan sifat-sifatNya yang maha tinggi yang ada dalam al-quran dan as sunnah serta beriman dengan segala maknanya dan segala hukumnya.

KETERANGAN ;
  1.  (mengesakan Allah)

Ialah berkeyakinan bahawa hanya Dialah yang satu, tiada duanya. Tiada yang menyamaiNya apalagi mengatasiNya.

Firman Allah ;
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
“Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa

2. (nama-namaNya yang tercantik)

Nama ialah sesuatu kalimah yang menunjukkan kepada Zat.
Contohnya ;

الله – الرحمن – الرحيم – الغفور – العزيز – القدير – السميع – البصير – البارئ

Tercantik ialah sifat bagi segala nama yang disebut dalam nas.

وَللهِ الأَسْمَاءُ الحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan”.

3. (terbaik / tercantik / terelok)

Ialah paling baik, paling elok, paling cantik, paling sempurna tiada yang dapat mengatasi.

4. (segala sifat)

Sifat ialah sesuatu makna yang ada bersama Zat, membezakan antara yang lain-lainnya, samada pada Zat atau perbuatan atau maknawi.
Contoh ;

الذاتية: اليدان – الوجه – العينان – الأصابع.
المعنوية: العلم – القدرة – الحياة - الإرادة.
الفعلية: النزول – الاستواء – الخلق – الرزق.

5. (Maha tinggi)

Tertinggi tiada yang mengatasiNya pada apapun keadaan.

Firman Allah S.W.T ;

لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالآَخِرَةِ مَثَلُ السَّوْءِ وَللهِ المَثَلُ الأَعْلَى وَهُوَ العَزِيزُ الحَكِيمُ

“Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, sifat yang buruk, dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. Annahl 60

6. ( dalam al quran dan hadis)

Hanya diambil dari kedua-dua sumber ini sahaja untuk menetapkan segala namaNya dan segala sifatNya.

Firman Allah S.W.T ;

لَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (Al-Israa' 17:36)

Imam Ahmad bin Hanbal (241) berkata ;

“tidak boleh memberi sifat kecuali apa yang Dia sendiri sifatkan, atau yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W, tidak boleh kita melampaui al quran dan as sunnah.”     (fatawa alhamawiah m/s 61)

 7. (beriman dengan makna dan hukumnya)

Iaitu beriman dengan apa yang terkandung di dalam perbahasannya, termasuk segala makna dan segala hukumnya.

Firman Allah S.W.T ;

وَللهِ الأَسْمَاءُ الحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, (Al-A'raaf 7:180)

Arahan Allah S.W.T supaya berdoa dengan menggunakan NamaNya adalah memberi pengertian ilmu dan mengamalkan di dalam kehidupan.
Contohnya ; Sami’ maknanya Allah itu mendengar, maka kita wajib mengetahui perkara itu, lalu sebagai penghayatannya ialah kita akan sentiasa berhati-hati ketika berkata-kata.