IBADAH KORBAN DAN BEBERAPA ISU SEMASA YANG BERKAITAN
DENGANNYA
Kertaskerja ini dibentangkan di Wacana Fiqh Qurban,
Pada 14 Oktober 2012 di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru
Bangi.
Oleh:
Prof Madya Dr. Azman bin Mohd Noor, Mohamad Fadzli bin
Shamsuddin.
Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia
azzmann@hotmail.com
PENDAHULUAN
Ibadah korban merupakan satu ibadah yang amat mulia di sisi
Allah s.w.t. Di dalamnya terkandung banyak hikmah. Sejarah ibadah korban
bermula pada zaman Nabi Ibrahim ketika peristiwa penyembelihan anaknya Ismail
yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan kuasa Allah S.W.T. Ibadah
korban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 hijrah seperti zakat dan solat
dua hari raya. Mengikut istilah fiqh Korban atau Udhiyah bermaksud menyembelih
haiwan tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, pada waktu
tertentu iaitu bermula pada selesainya solat hari raya Eid al-Adha (10
Zulhijjah) & pada hari-hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijjah) kerana
beribadah kepada Allah s.w.t., iaitu
sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya
disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Terdapat
banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijmak tentang pensyariatan ibadah
korban ini. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah korban
antaranya firman Allah di dalam surah al-Kautsar ayat 2 ertinya:
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu
semata-mata, dan sembelihlah (Korban) sebagai (tanda) bersyukur”.
Firman Allah lagi di dalam surah al-Hajj ayat 36 ertinya:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin
Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta
yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa
menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang
(serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian
yang lain) kepada orang-orang yang meminta dan yang tidak meminta. Demikianlah
Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu
bersyukur”.
Selain
daripada itu, terdapat juga hadis-hadis Nabi yang menjadi dalil akan
pensyariatan ibadah korban. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar
(Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan
darah (sembelih binantang korban), kerana ia (binatang Korban) itu akan datang
di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi
ke atas ibadah Korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu)
akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu
pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap
sebagai Hadis Hasan Gharib).
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis para ulama’ telah
bersepakat bahawa ibadah Korban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan
oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah
ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah
al-Soffat ayat 107:
“Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan
(kibash) yang besar”.
Selain itu, ibadah korban merupakan ibadah yang paling Allah
sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang diKorbankan akan
didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih
dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah sebelum darah
tersebut tumpah ke bumi. Ibadah ini mengandungi banyak hikmah antaranya ia
merupakana satu tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya yang tidak
terkira, dan sebagai kafarah (penutup) dosa-dosa. Selain itu, ibadah ini dapat
mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya,
yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail
sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT.
Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa
sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi
menegakkan agama Allah yang yercinta. Di samping itu ia dapat melatih diri kita
supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah serta melatih diri agar sentiasa
bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulama’ telah sepakat bahawa ibadah korban merupakan
ibadah yang telah disyariatkan. Namun, mereka berselisih pendapat bekaitan
hukum ibadah ini. Ada yang mengatakan ibadah ini wajib dan ada pula yang
mengatakan ibadah ini sunat. Pendapat-pendapat mereka disokong dengan
hujah-hujah yang kuat. Antara ulama’ yang berpendapat bahawa ibadah ini wajib
ialah Imam Abu Hanifah dan beberapa pengikutnya. Beliau berpendapat bahawa
ibadah Korban ini wajib sekali setiap tahun ke atas orang yang bermukim
(tetap). Pendapat mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah:
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan
dia untuk berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia
mendekati tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan
ibadah korban tidak wajib tetapi sunat muakkad.[1]
Adapun selain daripada Mazhab Hanafi, mereka berpendapat
bahawa ibadah korban adalah sunat dengan berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah
sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Dalam hadis yang lain Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu:
solat witir, menyembelih korban dan solat dhuha”.[2]
(Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim).
Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan Korban adalah
wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas
umatnya. Menurut pandangan Imam Syafie dan Malik, hukum melakukan ibadah korban
ini adalah sunat muakkadah iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan atau
dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh serta
berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak
sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pendapat mereka dikuatkan lagi dengan
sabda Rasululluah SAW:
“Aku telah diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah
sunat bagimu”
(Riwayat Imam al-Tirmizi).[3]
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab
berpendapat ibadah Korban dikira sama ada sunat muakkad atau wajib. Namun
begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa ibadah korban adalah amalan yang sunat
mu’akkad sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun
tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya.
SYARAT-SYARAT IBADAT KORBAN
Syarat sah korban:
1. Syarat yang
utama ialah seseorang itu mampu melaksanakan ibadah korban, dan tidak dituntut
bagi sesiapa yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban pada hari
raya Aid adha dan hari-hari tashriq (11, 12 dan 12 Zulhijjah)[4]
2. Syarat mukallaf
untuk seseorang melakukan ibadah korban ialah beragama Islam, merdeka, aqil
baligh, bermukim dan berkemampuan.
Syarat binatang sembelihan:
1. Menurut ijmak
ulama’ binatang yang harus dijadikan sembelihan korban ialah di kalangan
binatang ternakan (bahimah al-an’am) seperti unta, lembu, kambing dan yang
seumpama dengannya seperti firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 34 yang
bermaksud:
“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih
korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur
akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih
itu”.[5]
Walaubagaimanapun ulama’ berkhilaf pendapat dalam menentukan
binatang mana yg lebih afdal utk dijadikan korban.
2. Binatang yang
hendak dijadikan korban hendaklah daripada binatang yang tiada aib atau cacat
seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya.
3. Usia binatang
sembelihan korban adalah berbeza mengikut jenis binatang. Unta disyaratkan
telah berumur 6 tahun. Manakala kambing dan lembu disyaratkan telah berusia 2
tahun dan masuk ke umur 3 tahun. Kibash pula disyaratkan telah memasuki umur 2
tahun. [6] Dikecualikan kepada anak kibash/al-da’n yang dipanggil al-jaz‘ umur
yang lebih muda iaitu 6 bulan. Namun, pendapat yang sahih dalam mazhab Shafie
ialah genapnya setahun.[7]
Waktu ibadah korban
1. Ibadah korban mestilah
dilaksanakan pada waktu-waktu khusus iaitu pada 10 Zulhijjah selepas solat
sunat hari raya sehinggalah tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah.
ISU ISU BERKENAAN IBADAH KORBAN
1. Berkenaan
Daging Korban
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing
atau kibasy tidak termasuk di kalangan binatang yang boleh dibahagikan
dagingnya kepada beberapa bahagian iaitu hanya mencukupi sebagai korban untuk
satu bahagian sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi
korban bagi tujuh orang.[8] Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berkorban bersama Rasulullah SAW semasa di Hudaybiyah
dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.” (diriwayatkan oleh
jama’ah).
Dan hujah ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim:
“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dan kami berniat Haji.
Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan
seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”
1.2 Hukum memakan daging korban oleh orang yang melakukan ibadat
korban:
1. Jumhur fuqaha’
berpendapat bahawa harus bagi orang yang berkorban untuk memakan daging korban
miliknya.
2. Adapun mengikut
Mazhab Hanafi korban nazar iaitu korban wajib adalah dilarang untuk dimakan
oleh orang yang berkorban sepertimana memakan anak yang lahir dari binatang
sembelihan itu yang lahir sebelum disembelih.[9]
3. Mengikut
pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali adalah harus daging sembelihan korban nazar
dimakan oleh orang yang berkorban seperti daging sembelihan korban sunat.
Namun, yang paling dituntut adalah dagingnya dimakan sebahagiannya,
disedekahkan dan diberi makan kepada fakir miskin. Di sisi Mazhab Maliki dan
Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh orang yang berkorban atau disimpan
selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi dibenci (makruh). Manakala Mazhab
Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian besar dagingnya.[10]
4. Mazhab Syafi’e
berpandangan bahawa korban wajib atau nazar atau yang telah dinyatakan
tujuannya dengan lafaz seperti ‘ini adalah sembelihan korban’ atau ‘aku
menjadikannya sebagai sembelihan korban’ maka tidak harus dimakan dagingnya
oleh orang yang berkorban dan tanggungannya (ahli keluarganya). Bahkan adalah
wajib untuk disedahkan kesemuanya.[11]
5. Adapun korban
sunat di sisi Mazhab Syafi’e adalah harus bahkan digalakkan kepada orang yang
berkorban untuk memakan daging korbannya. Diriwayatkan dari Baihaqi: “Bahawa
Rasulullah SAW makan daripada hati sembelihan korbannya”.
1.3 Pembahagian Daging Korban
1. Dalam masalah
pembahagian daging korban, adapun yang paling dituntut disisi Mazhab Hanafi dan
Hanbali ialah dibahagikan daging itu kepada 3 bahagian. 1/3 untuk dimakan oleh
orang yang berkorban, 1/3 untuk dihadiahkan kepada saudara maranya atau
sahabat-sahabatnya dan 1/3 lagi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ini
berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud:
“Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang
lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.”
Dan Allah berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 28
bermaksud:
“Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang Korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang
fakir miskin.”
Berdasarkan ayat 28 ini Mazhab Hanbali mewajibkan memberi
makan kepada orang orang fakir miskin kerana perkataan ‘berilah makan’ adalah
ayat perintah.[12]
2. Dalil yang
digunakan oleh selain daripada Mazhab Maliki tentang kadar pembahagian daging
sebanyak 1/3 bahagian ialah riwayat Ibn Abbas pada menyifatkan sembelihan Nabi
SAW: “Dan baginda memberi makan ahli keluarganya 1/3, dan memberi makan di
kalangan jiran-jirannya yang miskin 1/3, dan memberi sedekah kepada yang
memerlukan/yang meminta 1/3”. (riwayat al-Hafiz Abu Musa al-Asfahani).
3. Manakala Mazhab
Maliki berpandangan bahawa tiada pembahagian daging dalam ibadah korban
bersandarkan kepada hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah, Jabir, Abu
Said, Buraidah dan selain mereka yang mana pada hadis-hadis tersebut Nabi ada
menyatakan: “Makanlah kamu, dan simpanlah kamu dan bersedekahlah kamu”, atau
pada riwayat lain: “Makanlah kamu, dan berilah makan, dan simpanlah kamu”.[13]
4. Daging korban
adalah harus untuk diberikan kepada orang-orang kaya mengikut pandangan Mazhab
Syafi’e sebagai hadiah kepada mereka tanpa bertujuan untuk berjual beli
dengannya.
5. Mengikut
pandangan lama Mazhab Syafi’e orang yang berkorban boleh makan separuh dan
separuh yang lain disedekahkan. Namun, pandangan yang baru pula mengharuskan
orang yang berkorban untuk makan 1/3 daripada sembelihan korbannya. Namun yang
paling tepat ialah wajib disedekahkan sebahagian walaupun sedikit daripada
dagingnya. Paling afdal adalah memberi sedekah kesemua daging korban kecuali
sedikit sekadar untuk mengambil berkat dari ibadah korban.[14]
6. Orang yang
berkorban sunat mengikut pendapat Mazhab Syafi’e boleh menyedekahkan kulit
binatang sembelihannya ataupun untuk memanfaatkannya seperti harusnya
memanfaatkan dagingnya. Paling afdal adalah disedekahkan kesemuanya. Adapun korban
wajib maka orang yang berkorban tidak harus untuk memanfaatkan kulitnya.[15]
1.4.Hukum memanfaatkan bahagian-bahagian badan binatang
Korban
1. Diharamkan jual
beli bulu, lemak, daging, bahagian-bahagian badan, kepalanya, kulit, rambut,
dan susu binatang korban yang diperah selepas disembelih korban. Nabi SAW telah
memerintahkan supaya kulit binatang korban dibahagikan dan melarang jual beli
padanya, sabda Nabi SAW:
“sesiapa yang menjual kulit binatang-binatang korbannya,
maka tiada korban baginya”. (riwayat Hakim dan Baihaqi).[16]
2.
Bahagian-bahagian anggota badan binatang korban juga tidak diharuskan
untuk diberi kepada penyembelih iaitu sebagai upah untuknya. Saidina Ali telah
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan
untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan
anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu
daripadanya”. Dan Ali telah berkata: “kami memberikan upahya (secara berasingan)
daripada kutipan sesama kami”. (Muttafaqun Alaih).[17]
3. Namun, jika
pemberian kepada penyembelih itu atas dasar kemiskinan atau sedekah bukan atas
dasar upah (upah diberi berasingan) maka hukumnya adalah harus.
4. Bagi orang yang
berkorban pula diharuskan untuk memanfaatkan kulit binatang sembelihannya.
Namun di sisi Mazhab Hanafi mengangap ia termasuk dalam bab ‘istihsan’ jika
seseorang itu membeli sesuatu menggunakan kulit binatang sembelihan tersebut
dengan syarat barang yang dibeli atau barang tukaran tersebut hendaklah sesuatu
yang kekal dan bukan sesuatu yang musnah seperti dinar, dirham, makanan atau
minuman. Dalil tentang harusnya memanfaatkan kulit binatang sembelihan adalah
perbuatan Aisyah yang menjadikan kulit binatang sembelihan sebagai bekas air.
Namun Mazhab Maliki menghukumkan makruh jika digunakan sebagai bekas makanan
atau minuman orang yahudi dan nasrani.[18]
1.5 Hukum memberi daging atau bahagian badan binatang
sembelihan korban kepada orang kafir:
1. Imam al-Nawawi
menukilkan daripada Ibn Munzir Ijma‘ Ulama bahawa adalah harus memberi makan
daging Korban kepada fakir miskin Muslim. Mereka berselisih pendapat berkenaan
memberi makan daging Korban kepada Ahli Zimmah. Abu Hanifah, Hasan al-Basri dan
Abu Thaur membenarkannya. Imam Malik pula lebih suka mengutamakan Muslimin.
Imam Malik mengaggap makruh memberikan kulit binatang Korban kepada orang
Kristian.
Adapun pegangan mazhab Shafie, menurut Imam al-Nawawi, harus
memberi makan kafir Zimmi daripada daging sembelihan Korban Sunat, bukan Korban
wajib seperti nazar.[19]
2. Mengikut
pandangan Mazhab Hanbali adalah harus memberi daging kepada orang kafir jika
ianya adalah korban Sunat. Adapun korban wajib maka tidak diharuskan.[20]
3. Menurut
pandangan Syeikh Soleh Uthaimin, seseorang itu boleh memberikan daging Korban
kepada orang kafir sebagai sedeqah selagi orang kafir itu tidak memerangi dan
membunuh orang Islam. Jika dia seorg kafir yang memerangi orang Islam, maka
tidak boleh memberinya apa-apa. Ini bermakna hanya kafir zimmi sahaja yang
diberi kelebihan untuk menerima daging korban. Pendapat ini dikuatkan dengan
firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9 maksudnya:
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku
adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula)
mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang
berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu
orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu
dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka
sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.[21]
4. Fatwa dari
Lajnah Da'imah lil Buhuth al-'Alamiyah wa al-Ifta' pula berpendapat harus untuk
memberi makan daging korban kepada orang kafir yang membuat perjanjian damai
dan juga tebusan dari kalangan orang kafir. Boleh memberinya kepada orang kafir
yang miskin, kaum kerabat, jiran atau mu'allaf, kerana menyembelih daging
Korban ini adalah korban dan ibadat kepada Allah semata-mata. Yang lebih
afdhal, dagingnya dimakan sepertiga, sepertiga lagi diberikan kepada kerabat,
jiran dan teman, dan sepertiga lagi disedeqahkan kepada orang fakir. Jika
dilebihkan atau dikurangkan bahagian ini maka tidak mengapa. Tidak boleh
memberikan daging korban ini kepada orang kafir yang memerangi orang Islam,
kerana kita wajib menjatuhkan dan melemahkannya serta tidak menguatkannya
dengan sedekah. Itu adalah hukum dalam memberi sedekah kerana umum dalam firman
Allah ini:
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku
adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula)
mengusir kamu dari negerimu”.[22]
5. Di Negara kita
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa
tidak harus mengagih dan memberi makan daging Korban kepada orang bukan
Islam.[23]
Kesimpulannya, ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini,
sebahagian mazhab mengatakannya haram, ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab
Hanbali, Hanafi pula mengatakannya harus kerana ia bukannya sedekah wajib.
Namun satu perkara yang tiada khilaf di kalangan ulama’ ialah mengutamakan umat
Islam. Oleh itu dalam hal ini, umat Islam perlu didahulukan, tetapi tidak
menjadi kesalahan memberikannya kepada orang kafir ahli al-zimmah.
2. Hukum
Memindahkan Daging Korban/ Melakukan Ibadah Korban ke Tempat Atau Negeri/Negara
lain:
1. Mazhab Hanafi
berpendapat bahawa makruh hukumnya memindahkan sembelihan korban ke negeri lain
seperti zakat, kecuali jika diberikan kepada saudara maranya yang berada di
negeri lain atau kepada penduduk negeri lain yang lebih berhajat kepada daging
itu berbanding penduduk di negeri sendiri.[24]
2. Mazhab Maliki
pula berpandangan bahawa tidak diharuskan memindahkannya ke kawasan atau negeri
yang jaraknya tidak jauh dari tempat korban tersebut dilaksanakan, kecuali
penduduk kawasan tersebut lebih berhajat daripada penduduk di kawasan atau
negeri sendiri.
3. Mazhab Hanbali
dan Syafi’e juga berpandangan seperti Mazhab Maliki.[25] Hukumnya adalah harus
menurut mazhab Shafie berasarkan kaedah qiyas dengan pengeluaran zakat di luar
Negara di mana sepatutnya didahulukan tempat sendiri.[26]
4. Di Malaysia
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa
harus mengagihkan daging Korban ke tempat atau negara lain.[27]
Berkenaan melakukan ibadat Korban di luar negeri/Negara,
Sheikh Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti berpendapat bahawa ibadah
Korban di luar Negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan
ibadat Korban. Tetapi yang afdalnya dilakukan di kawasan tempat tinggalnya.
Lebih afdal lagi sekiranya dilakukan ibadat Korban di kawasan kediamannya dan
juga di luar Negara yang berdepan dengan kesukaran.[28] Dr. Nazim al-Misbah
juga menyokong pandangan ini. Beliau menolak pandangan yang mendakwa ibadat
Korban di luar Negara adalah sama dengan sedekah biasa[29]. Menurutnya lagi
pendapat ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang
meyatakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan
penyembelihan Korban baginda ketika Haji Wada’.
Kesimpulan, yang afdal dan hukum asal bagi ibadah Korban
ialah dilaksanakan di negeri sendiri. Sekiranya dibuat di luar Negara, tidak
menjadi kesalahan. Bagi mereka yang mampu, boleh buat dua dua sekali.
3. Pantang Larang Bagi Mereka yang Ingin Melakukan Ibadat
Korban
Disunatkan kepada mereka yang hendak melakukan ibadat Korban
apabila masuk satu haribulan Zulhijah, agar tidak memotong kuku atau
mencukur/menggunting rambut, ataupun mana mana bulu di badan sehinggalah
dilakukan ibadat Korban. Al-Imam Al-Shirazi berpendapat bahawa ia tidak wajib
kerana mereka bukan berihram sebagaimana yang dilakukan oleh Jemaah haji. Ini
adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ummi Salamah: “Sesiapa yang akan
melakukan sembelihan Korban, apabila kelihatan Hilal Zulhijjah maka janganlah
dia menyentuh kuku atau rambutnya sehinggalah disempurnakan ibadat Korban”.
Hadis riwayat Muslim.
Imam al-Nawawi berkata Ulama mazab Syafie menanggap bahawa
hukumnya adalah makruh Karahiyat al-Tanzih berdasarkan hadis di atas. Inilah
pegangan mazhab Shafie. Ada juga sebahagian ulama mazhab Syafie seperti
Al-Rafie menganngap hukumnya adalah haram. Ini selari dengan pandangan Said Ibn
Musayyab, Imam Ahmad dan Rabiah yang mengaanggapnya haram. Mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah
tidak menganggap makruh (harus) perbuatan potong kuku atau rambut bagi mereka
yang ingin melakukan ibadat Korban.
Di antara hikmah dilarang perbuatan tersebut ialah supaya
semua anggota badan pelaku Korban diselamatkan daripada api neraka dan juga
untuk mencontohi mereka yang berada dalam ihram haji walaupun tidak dilarang
hubungan suami isteri dan juga wangian.[30]
4. Program Korban yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa dan
Institusi Kerajaan/Swasta
Di dalam mazhab Shafie, harus bagi pemerintah menggunakan
peruntukan Bait al-Mal untuk melakukan ibadat Korban (menghidupkan syiar
ibadah) bagi masyarakat Islam.[31] Berdasarkan pendapat ini, boleh diqiyas
keharusannya kepada badan-badan kerajaan dan juga swasta. Persoalannya, adakah
sah ibadat Korban tersebut atau ia sama dengan sedekah? Sepatutnya ibadah ini
dilakukan oleh individu Muslim, dan oleh kerana ia adalah ibadat, maka perlu
kepada niat. Tidak dapat digambarkan berlakunya niat daripada entity undang
undang (legal entity).
Dicadangkan kepada syarikat syarikat ataupun institusi
kerajan ataupun swasta supaya diberikan kepada fakir miskin (dimilikkan)
binatang ternakan samada lembu atau kambing yang akan disembelih Korban.
Tujuannya ialah mereka berpeluang melakukan ibadat Korban dengan menjadi
pemilik kepada binatang Quran atau sebahagian daripadanya (1/7) dan mereka akan
menunaikan niat korban ketika melakukan kerja-kerja penyembelihan. Namun, ia
perlu kepada pematuan supaya penyembelihan akan betul betul berlaku dan
menepati kehendak Syarak. Dengan itu tidak dicadangkan pemilikan diberika
sebelum penyembelihan. Tujuannya ialah supaya haiwan itu tidak dijual hidup
hidup untuk mendapatkan duit tunai.
5. Melakukan
Ibadat Korban Bagi Mereka yang Sudah Meninggal[32]
Ibadah Udhiyyah/Korban adalah sunnah mu’akkadah kepada
mereka yang hidup dan berkemampuan. Ia sah dilakukan untuk diri sendiri dan
juga ahli keluarga yang masih hidup. Adapun ke atas mereka yang sudah
meninggal, tidak wajib lagi ke atas mereka kecuali sekiranya si mati
mewasiatkan atau bernazar untuk melakukannya sebelum mati. Ulama berselisih
pendapat apakah sah hukumnya sekiranya dilakukan ibadah Korban untuk simati
tanpa wasiat atau nazar.
Pendapat pertama: Tidak sah, kecuali simati berwasiat
demikian. Ini adalah pendapat mazhab Shafie sebagaimana yang disebut oleh Imam
Nawawi di dalam kitab al-Minhaj. Disebut oleh Sheikh Taqiyyuddin al-Husaini di
dalam kitabnya Kifayat al-Akyar, bahawa pendapat yang al-Asahhu (yang dipilih)
dalam mazhab Shafie ialah tidak sah melakukan ibadat korban bagi simati kecuali
simati berwasiat demikian.[33]
Pendapat kedua: Sah dilakukan Korban kepada simati secara
berasingan daripada yang hidup sebagai tabarru‘ berdasarkan kaedah qiyas dengan
perbuatan sedekah. Pendapat ini
dinisbahkan kepada sebahagian daripada ulama mazhab Hanbali.
Pendapat ketiga: Makruh. Ini adalah pendapat Imam Malik
kerana tidak sabit amalan ini dari Rasulullah.
Penulis berpendapat perbutatan ini tidak berapa digalakkan
kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah kepada keluarga Banginda yang sudah
meninggal. Para sahabat juga tidak melakukannya kepada keluarga mereka yang
sudah meninggal.
6. Wakalah Dalam
Ibadah Korban
Pada dasarnya, orang yang berkorban digalakkan untuk
menyembelih sendiri binatang korbannya jika berkemampuan kerana ianya adalah
satu ibadah sperti ibadah-ibadah yang lain yang bertujuan untuk taqarrub kepada
Allah. Bahkan Nabi sendiri pernah menyembelih beberapa ekor binatang korban
dengan tangannya sendiri. Namun, tidak menjadi kesalahan jika orang yang
berkorban mewakilkan kepada orang lain untuk menjalankan ibadah korban bagi
pihaknya. Para Fuqaha berpendapat bahawa sah dan harus berwakil membeli
binatang Korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di
negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.
Sepertimana kebiasaan di negara kita, ibadah korban
dijalankan oleh beberapa syarikat atau organisasi yang bertanggungjawab
menguruskan ibadah korban dan aqiqah. Pada kebiasaannya organisasi ini akan
menjadi wakil kepada orang yang hendak menunaikan ibadah korban. Mereka
bertanggungjawab untuk membeli, menyembelih dan mengedarkan daging-daging
korban tersebut. Manakala orang yang berkorban hanya perlu menyediakan wang
untuk membeli bahagiannya sahaja tanpa perlu menguruskan segala urusan
penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu
melibatkan hukum wakalah.
6.1 Konsep Wakalah:
Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa,
pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah
seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain
agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan. Hukum wakalah adalah harus
berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun
iaitu:
I. Muwakkil (orang yang berwakil)
II. Wakil /Muwakkal (orang yang dijadikan
wakil)
III. Muwakkal fihi (sesuatu yang
diwakilkan)
IV. Shighah (ijab dan qabul).
Syarat-syarat wakil dalam ibadah korban:
1. Hendaklah
seorang Muslim dan bukan ahli kitab kerana sembelihan ahli kitab adalah makruh.
Tambahan pula tujuan sembelihan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Adapun majusi adalah diharamkan sembelihannya.[34]
2. Hendaklah
mendapat keizinan orang yang berkorban.
3. Memenuhi
syarat-syarat mukallaf.
Hukum upah bagi wakil:
1. Ulama’ sepakat
mengatakan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh mengambil bahagian
daripada sembelihan korban sebagai upah kerana terdapat larangan yang keras
daripada Nabi SAW di dalam hadis Sayyidina Ali:
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan
untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan
anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu
daripadanya”. (Muttafaqun Alaih).
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa wakil atau penyembelih
tidak boleh menetapkan bahagian daripada binatang korban itu sebagai upahnya.
2. Jika hendak
memberi upah hendaklah menggunakan peruntukkan lain selian dari daging korban.
Ali r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta
milik Baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi
belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya) serta aku juga tidak
memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya
dengan harta kami sendiri”. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)
Hujjah lain, pada dasarnya upah untuk ibadah adalah
diharuskan seperti upah haji dan umrah. Adapun ibadah-ibadah yang tidak
memerlukan belanja dan usaha yang keras maka tidak diharuskan padanya sebarang
upah.
Larangan dijadikan upah sebahagian daripada daging Korban
adalah kerana daging daripada penyembelihan korban adalah bertujuan untuk
ibadah korban dan kebajikan. Dengan itu ia tidak boleh dijadikan balasan/upah
kepada kerja (pengurusan penyembelihan).
6.2 Kaedah Kaedah Wakalah di dalam Ibadah Korban:
1. Wakalah
berbentuk penyerahan binatang korban:
Penyerahan binatang korban kepada wakil haruslah melalui
pernyataan yang jelas dalam jenis korbannya samaada sunat atau wajib dan urusan
yang diserahkannya samada menyembelih saja atau juga membahagikan dagingnya
kepada pihak ketiga. Oleh kerana itu harus ada shighah yang jelas antara orang
yang berkorban dengan wakil tersebut dan kedua-dua pihak harus memenuhi
rukun-rukun wakalah iaitu Muwakkil (orang yang berwakil), Muwakkal (orang yang
dijadikan wakil), Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan) dan Shighah (ijab dan
qabul). [35]
أركانها اربعة موكل ووكيل وموكل فيه وصيغة
ويكفى فيها اللفظ من أحدهما وعدم الرد من الأخر كقول الموكل وكلتك بكذا او فوضته إليك
ولو بمكاتبة او مراسلة (الباجورى جزء 1 ص : 296 )
2. Wakalah
berbentuk penyerahan wang:
Dengan cara ini urusan ibadah korban dapat dilakukan dengan
mudah. Melalui cara ini orang yang ingin melakukan ibadat korban akan
menyerahkan sejumlah wang yang sama nilai dengan sebahagian atau seekor
binatang korban kepada wakil. Wakil tersebut akan menguruskan segala urusan
ibadah korban bagi pihaknya. Dalam hal ini menurut pandangan ulama hukumnya
adalah harus.
Penjelasan tentang keharusan wakalah melalui penyerahan wang
dijelaskan dalam kitab I’anah al-Talibin:[36]
للصواب: في فتاوي العلامة الشيخ محمد بن
سليمان الكردي محشي شرح ابن حجر على المختصر ما نصه: (سئل) رحمه الله تعالى: جرت عادة
أهل بلد جاوى على توكيل من يشتري لهم النعم في مكة للعقيقة أو الأضحية ويذبحه في مكة،
والحال أن من يعق أو يضحي عنه في بلد جاوى فهل يصح ذلك أو لا؟ أفتونا. (الجواب) نعم،
يصح ذلك، ويجوز التوكيل في شراء الأضحية والعقيقة وفي ذبحها، ولو ببلد غير بلد المضحي
والعاق كما أطلقوه فقد صرح أئمتنا بجواز توكيل من تحل ذبيحته في ذبح الأضحية، وصرحوا
بجواز التوكيل أو الوصية في شراء النعم وذبحها، وأنه يستحب حضور المضحي أضحيته. ولا
يجب. وألحقوا العقيقة في الاحكام بالأضحية، إلا ما استثني، وليس هذا مما استثنوه، فيكون
حكمه حكم الأضحية في ذلك. وبينوا تفاريع هذه المسألة في كل من باب الوكالة والإجارة
فراجعه.
Dalam kitab Fatawa Syeikh Sulaiman al-Kurdi Muhasyyi Syarah
Ibni Hajar ‘ala al Mukhtashar terdapat suatu pertanyaan: Beliau telah ditanya:
“Telah berlaku kebiasaan penduduk Jawi mewakilkan kepada
seseorang agar membelikan haiwan ternakan untuk mereka di Makkah sebagai aqiqah
atau korban dan agar menyembelihnya di Makkah, sementara orang yang melakukan
ibadat tersebut berada di Jawa. Apakah hal demikian itu sah atau tidak? Mohon diberikan
fatwa. Jawabannya “Ya, demikian itu sah. Diperbolehkan mewakilkan dalam
pembelian binatang korban dan aqiqah dan juga penyembelihnya sekalipun tidak
dilaksanakan di negara orang yang berqorban atau beraqiqah itu.”..
Di antara kesilapan yang biasa berlaku ialah tidak
dinyatakan akad perwakilan (wakalah) ketika mengambil tempahan. Tidak juga
dibezakan antara wakalah secara mutlak ataupun secara khusus. Perwakilan secara
khusu berlaku apabila mereka yang melakukan ibadat korban mewakilkan seseorang
tukang sembelih yang dikenalpasti untuk melakukan penyembelihan, di samping
ditentukan haiwan sembelihan. Bagi wakil yang akan mewakili pihak ketiga untuk
menguruskan ibadah korban terutamanya di luar negara, perlu dinyatakan dengan
jelas perwakilan adalah secara mutlak.
Wakalah Bersama Dengan Upah (wakalah bi al-ajr)
Apabilah wakalah disertakan dengan upah, hukumnya bertukar
kepada ijarah, iaitu upah kepada sesuatu pekerjaan. Ini dianggap sebagai aqad
mu‘awadah seperti jual beli. Di antara kesan fiqh ialah ia berubah daripada
kontrak yang tidak mengikat (non binding/ghair lazim) kepada kontrak yang
mengikat (binding/lazim), dengan erti kata pembatalannya mestilah dengan
persetujuan kedua dua pihak (muwakkil dan wakil). Jumlah upah juga mestilah
diketahui kerana gharar (ketidaktentuan) di di dalam aqad mu‘awadah membatalkan
kontrak. Sebagai contoh, sekiranya disebut harga kambing seekor RM500, perlu
dijelaskan berapa upah kepada wakil yang akan melakukan kerja penyembelihan dan
pengurusan ibadah korban. Diantara kesilapan yang kerap berlaku ialah tidak
disebut berapa upah.
Di antara alternatif adalah seperti berikut:
1. Disebut bahawa
RM500 adalah harga sebahagian korban termasuk kos pengurusan dan upah. Perlu dinyatakan termasuk upah. Ini
boleh diterima sekiranya penyembelihan dan urususan penyelenggaraan dilakukan
sendiri oleh penganjur seperti masjid atau surau.
2. Adapun bagi
mereka yang mengutip wang penyertaan ibadah Korban, kemudian mewakilkan pihak
lain, dan mengambil upah, perlu dinyatakan jumlah upah. Contohnya Harga kambing
RM450, upah RM50.
3.
Menganggarkan/menentukan nilai seekor kambing atau 1/7 lembu, contohnya
RM500, baki diberikan kepada wakil ataupun kepada masjid/badan
kebajikan/sekolah agama/rumah anak yatim dll. Contoh: “Saya bayar duit RM500
ini untuk sebahagian lembu korban, yang selebihnya/baki adalah untuk kamu.”
atau “Saya bayar duit RM500 ini untuk sebahagian lembu korban, yang
selebihnya/baki adalah untuk masjid.”
Konsep ini disebut oleh fuqaha sebagai:
إذا قال الموكل للوكيل: بع العين بكذا،
فما زاد فهو لك
“Apabila berkata pewakil kepada wakil: “Juallah barang ini
dengan sekian-sekian, apa yang lebih adalah untukmu”
Di antara ulama yang yang mengharuskan konsep ini (upah
bersyarat) ialah Ibn Abbas, Al-Zuhri, Qotadah, Ayub al-Sakhtiyani, Ibn Sirin,
Al-Sya’bi, Hassan al-Basri, Ishaq Ibn Rahawaih, Ahmad bin Hanbal,dan juga ulama
mazhab Hanbali.[37] Ulama yang membenarkan kaedah ini juga mengharuskan membeli
dengan harga sekian, sekian, sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah, maka
perbezaan harga itu deberikan kepada wakil. Contoh, “Belikan saya sebahagian
lembu korban dengan harga RM500, sekiranya kamu boleh dapatkan harga yang lebih
rendah, perbezaan harga saya berikan kepada kamu.”
Perlu diingatkan supaya tidak berlaku ghubn iaitu kerugian
disebabkan penipuan bagi muwakkil iaitu pelaku ibadah korban di mana, kadang
kadang lembu yang disembelih adalah yang kurus atau tidak cukup sharat sah
sembelih, kerana dibeli dengan harga yang begitu rendah disebabkan pengambilan
upah yang tinggi.
Dicadangkan bagi mereka yang menganjurkan ibadat korban
secara komersial, agar mengabil upah secara berpatutan menurut uruf, sebagaimana
Al-Quran membenarkan penjaga anak yatim mangambil upah di atas kerjanya
sekiranya tidak ada kemampuan dengan syarat ianya berpatutan menurut uruf
semasa dan tempat pengurusan korban “bi al-makruf”. Aktiviti ini juga perlu
kepada pamatauan pihak berkuasa supaya tidak berlaku penipuan.
KESIMPULAN
Ibadah korban merupakan ibadah yang mulia di sisi Allah SWT
dan ganjaran amatlah besar. Di dalamnya terkandung seribu satu hikmah. Oleh
kerana ianya adalah sunat muakkad, umat Islam amat digalakkan untuk melaksanakan
ibadah korban, tambahan pula pada masa kini terdapat banyak kemudahan yang
dapat membantu memudahkan lagi ibadah ini dijalankan.
Namun, dalam kesibukan kita mengejar ibadah ini jangan
sampai terlepas pandang akan syarat-syarat dan sunnah-sunnah yang diajarkan
oleh Rasulullah SAW. Supaya ibadat korban
dilaksanakan dengan sempurna, kefahaman tentang hukum hakam yang
berkaitan dengan ibadah korban sangatlah penting. Perhatian juga perlu
diberikan dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil
membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan
berkorban itu benar-benar menepati kehendak Syara’.
Aktiviti penganjuran ibadat korban secara komersial perlu
kepada pematauan pihak berkuasa untuk memastikan pelaksanaan dilakukan dengan
sempurna termasuklah aqad wakalah, penentuan harga dan upah dan pengagihan
supaya patuh kepada Shariah. Pengajur juga mestilah berwaspada dan
melaksanakannya dengan cara yang penuh perihatin dan tekun kerana ia adalah
amanah daripada orang ramai dan dipersoalkan pada hari Qiyamat.
Wallahu a‘lam.
[1]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
(Dimasyq: Dar al-Fikr, Edisi ke-6. 2008),
jil. 3, ms. 597
[2]. Ibid, 598
[3]. Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid,
(Al-Qahirah: Dar al-Hadis, 2004), jil. 2, ms 192
[4]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 601
[5]. Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid,
jil. 2, ms 192
[6]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil.
3, ms. 615
[7] Kifayat al-Akyar, ms.528.
[8]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 615
[9]. Ibid., 627
[10]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 627-628
[11]. Ibid., 630
[12]. Skheikh Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa
Adillatuhu, jil. 3, ms. 628
[13]. Ibid., 628
[14]. Ibid., 630
[15]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 631
[16]. Ibid., 629
[17]. Ibid., 629
[18]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 629
[19] Imam al-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhazzab, ibid.
jilid 8, ms. 404.
[20]. Ibid., 629
[21].
http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=92313
[22]. http://www.alifta.net/Fatawa/FatawaChapters.aspx?View=Page&BookID=3&PageID=4216&back=true
[23].
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wakalah-dan-beberapa-perkara-berbangkit-dalam-ibadat-Korban
[24]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 630
[25]. Ibid., 630
[26] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.534.
[27].
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wakalah-dan-beberapa-perkara-berbangkit-dalam-ibadat-Korban
[28] http://ar.islamway.com/fatwa/5759. Accessed 11/10/2012.
[29] http://www.alaan.cc/pagedetails.asp?nid=121971&cid=30.
11/10/2012.
[30] Imam al-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhazzab,
Jeddah:Maktabah al-Irshad, Jilid 8, ms. 362/363
[31] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.528.
[32] http://www.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=93307.
Accessed 11/10/2012
[33] Imam Taquyiddin , Abu Bakar Muhammad al-Husaini, Kifayat al-Akhyar, Beirut 1991, Dar al-Khair,
ms.528.
[34]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,
jil. 3, ms. 603
[35]. Hasyiat al-Bajuri, jilid 1, ms. 296.
[36]. Al-Bakri al-Dimyati, I’anat al-Tolibin, (1992), jil.
2, ms. 381
[37] Musannaf Abd Al-Razzaq, (15018), Ibn Qudamah, al-Kafi,
jilid 2, ms. 252.
No comments:
Post a Comment